SharpShooter Followers

Friday, August 07, 2015

Jangan Musnahkan Intergriti Institusi Kita - Anwar Ibrahim


KENYATAAN MEDIA DS ANWAR IBRAHIM -

Jangan musnahkan integriti institusi kita

"Saya menggesa Perdana Menteri Dato' Sri Najib untuk menghentikan segala tindakan mengganggu dan mengancam pegawai-pegawai siasatan agensi kawal selia negara.

Saya merujuk secara khusus bagaimana anggota PDRM diguna untuk menangkap, menyoal siasat malah juga mereman anggota-anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk mereka yang terlibat di dalam siasatan bagaimana RM 42 juta wang rakyat melalui SRC International dimasukkan ke akaun peribadi DS Najib di AmBank.

Terdapat juga tanda-tanda bahawa Bank Negara, yang merupakan institusi kawal selia yang teramat penting, juga sedang diancam. Amatlah mustahak bagi negara dan keadaan ekonomi agar Bank Negara terus dilihat sebagai sebuah badan yang bebas, profesional dan berintegriti.

Bank Negara wajib dibenarkan menjalankan tugas-tugas tanpa kekangan terutama di dalam aspek pengesanan dan pencegahan pengubahan dan aliran wang haram. Jika Bank Negara dilihat cuai dan tidak cekap menjalankan tugas akibat gangguan politik, maka ekonomi negara akan mengalami kesan yang amat serius.

Rakyat Malaysia perlu bersatu dalam memberi sokongan terhadap SPRM dan Bank Negara untuk menjamin institusi-institusi ini selamat dari gangguan politik.

Saya menggesa agar semua rakyat Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti, NGO dan masyarakat sivil mengetepikan perbezaan dan bersatu untuk menyelamatkan negara kita dari krisis politik dan ekonomi yang melanda kita sekarang."

Anwar Ibrahim