SharpShooter Followers

Friday, June 26, 2015

1.5 JUTA PEKERJA ASING BAHARU DARI BANGLADESH KETERLALUAN DAN TIDAK TERPERINCI

1.5 JUTA PEKERJA ASING BAHARU DARI BANGLADESH KETERLALUAN DAN TIDAK TERPERINCI

Kenyataan media DS Zahid Hamidi hari ini bahawa seramai 1.5 juta pekerja asing baharu dari Bangladesh akan dibawa masuk dalam jangkamasa tiga tahun amat merisaukan dan tidak masuk akal.

Pertamanya, jumlah 1.5 juta ini cukup keterlaluan. Satu Malaysia tahu, jumlah pekerja asing berdaftar pada 2014 mencecah 2.1 juta. Jumlah pekerja asing yang tidak berdaftar pula dianggarkan lebih dari 4 juta. Malah mengikut satu kenyataan Kementerian Tenaga Manusia sendiri menyatakan bahawa pekerja asing di Malaysia dianggarkan berjumlah lebih 6.7 juta dan laporan tersebut turut berkata hal ini sangat membimbangkan(1). Ini bermakna jika dasar ini dilaksana jumlah pekerja asing di Malaysia akan mencecah 8.2 juta, atau 26% penduduk di Malaysia!

Keduanya, ke mana hendak diletak tenaga kerja ini? Bidang apa, sektor mana? Perkara ini perlu diperjelas terlebih dahulu, dan saya gesa menteri untuk membawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahas dengan teliti. Rakyat Malaysia tidak mahu dan tidak mampu menanggung beban begitu ramai tenaga kerja asing yang sudah pasti akan mengambil pekerjaan separuh mahir.

Sepatutnya Kerajaan menggariskan dasar-dasar untuk membantu industri dan sektor-sektor yang memerlukan tenaga kerja dengan memberi insentif menaiktaraf peralatan dan pendidikan semula pekerja. Bukannya dengan penyelesaian jangkamasa pendek seperti membawa masuk lebih ramai pekerja asing!

YB Abdullah Sani Abd Hamid
Ahli Parlimen Kuala Langat
Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN

26 Jun 2015

Nota:

1. http://www.mohr.gov.my/index.php/ms/news-cutting/1053-kebanjiran-pekerja-asing-di-malaysia-sangat-serius