SharpShooter Followers

Wednesday, June 04, 2014

ISU TINDAKAN JAIS DI MAJLIS PERKAHWINAN DI SEBUAH KUIL


BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
 
KENYATAAN MEDIA
 
ISU TINDAKAN JAIS DI MAJLIS PERKAHWINAN DI SEBUAH KUIL

Petaling Jaya, Selangor, 4 Jun 2014. Sesungguhnya, KEADILAN memandang serius peristiwa yang baru yang saja berlaku di mana pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan seorang pengantin wanita yang sedang melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, di sebuah kuil di Petaling Jaya pada 1 Jun 2014 yang lalu.  
 
KEADILAN melihat bahawa, di dalam masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk sekian lama, konflik yang berlaku seperti ini, bukanlah yang pertamakali.  Malah, ianya telah pun kerap berlaku berulang-ulang kali di masa silam - meskipun di dalam bentuk dan situasi yang berlainan.    
 
Menyedari hal ini, adalah lebih bijaksana, jika kesemua pihak yang terlibat, bersikap realistik, matang dan tenang. Sebarang prejudis dan pelbagai kenyataan yang bersifat prasangka dan sensasi, hendaklah dihentikan.  Justeru, lebih afdal, tradisi Melayu "Bagai menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus" dijadikan asas tindakan.
 
KEADILAN berpendirian, untuk meleraikan hal-hal seperti ini secara tuntas dan jangka panjang, suatu mekanisme komunikasi yang berkesan berasaskan semangat muhibbah dan hormat-menghormati di kalangan rakyat Malaysia pelbagai agama, perlulah disuburkan. Tindakan segera yang bersifat terbuka,  dengan mengadakan konsultasi dan dialog persefahaman, hendaklah digiatkan. Andai ada pihak yang dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, biarlah pihak mahkamah yang memutuskan.
 
KEADILAN ingin mencadangkan agar JAIS mewujudkan sebuah unit khas, bagi mengenalpasti kelompok-kelompok berisiko tinggi (yang dibawah kuasa dan tanggungjawabnya), supaya bertindak secara proaktif dan awalan. Ini, bagi mengelakkan krisis seperti ini berulang lagi di masa hadapan.  Malah, panduan-panduan berurusan (SOP) dengan pihak JAIS, secara mudah dan praktikal, perlu dijelaskan kepada semua – sama ada masyarakat Islam dan bukan Islam.      
 
Bersamalah kita berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya, demi kedamaian hidup beragama, keadilan dan kesejahteraan rakyat di Negara yang kita cintai ini.
 
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan Keadilan



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Tuesday, June 03, 2014

Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang‎


Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang

Laporan-laporan berita yang mengesahkan bahawa Barisan Nasional sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel sudah tentu menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Setakat ini, laporan-laporan berita memberi gambaran bahawa sistem subsidi baru petrol dan diesel itu akan beroperasi seperti berikut:

1. Subsidi petrol dan diesel hanya akan diberikan kepada golongan tertentu mengikut kadar pendapatan. Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan ialah RM5,000 ke bawah (bermakna bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, mereka masih boleh membeli petrol dan diesel pada harga subsidi);

2. Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000, pengguna hanya diberikan kuota bulanan tertentu untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi. Sekiranya jumlah penggunaan melebihi kuota bulanan, pengguna perlu membayar harga pasaran;

3. Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan, pengguna perlu membeli pada harga pasaran.

Saya kerap kali memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya sebarang keputusan yang melibatkan kebajikan rakyat perlulah dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat.

Rombakan sistem subsidi petrol dan diesel adalah satu keputusan besar yang akan mempunyai kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan yang drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional wajar membentangkan cadangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini ke Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Rakyat perlu diberikan masa yang secukupnya, sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang telah pun dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan setakat ini, saya khuatir sistem subsidi baru petrol dan diesel ini akan mewujudkan pasaran gelap yang menjual petrol dan diesel seperti berikut:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpan petrol dan diesel ini;

2. Mereka kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap yang membeli petrol dan diesel ini pada harga yang lebih tinggi;

3. Ejen pasaran gelap kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau pun orang persendirian yang mahu mendapatkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih rendah.

Misalnya, jika harga subsidi satu liter petrol adalah RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 satu liter, pasaran gelap berikut boleh berlaku:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 satu liter kepada ejen pasaran gelap;

2. Ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 satu liter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli dari pasaran gelap.

Jelas bahawa sistem subsidi baru yang dilaporkan mempunyai risiko ketirisan subsidi yang tersendiri, seperti mana sistem sekarang yang sering dipersalahkan oleh Barisan Nasional sebagai punca berlakunya penyeludupan.

Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru yang lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Barisan Nasional membentangkan secepat mungkin segala butiran sistem baru subsidi petrol dan diesel ini serta dibahaskan di Parlimen dalam sidang yang bermula minggu depan, sebelum sebarang keputusan diambil.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan media dan menyemak keputusan Barisan Nasional mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini bermula hari ini.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

3 Jun 2014


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.