SharpShooter Followers

Friday, November 23, 2012

Oh Malaysia tanahairku...kenapa jadi begini...

Peguam Sivarasa Rasiah bertegas tidak setuju dengan keputusan hakim hari ini yang menolak permohonan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli untuk mengenepi pertuduhan ke atasnya di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989.

Ini kerana menurut beliau, memang sepatutnya pendakwaan terhadap anak guamnya itu tidak perlu.
“Rafizi mempunyai tanggungjawab untuk dedahkan penyelewengan terhadap wang rakyat, dan Datuk (Mohamad) Salleh (Ismail) sebagai penyeleweng tidak punya hak undang-undang untuk mendakwa Rafizi,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Berikutan penolakan itu, Sivarasa dan dua lagi peguam yang mewakili Rafizi – Latheefa Koya dan Eric Paulsen akan memfailkan notis di Mahkamah Rayuan, Isnin depan.

“Kita hormat keputusan hakim tetapi kita akan buat rayuan kerana kita yakin memang Rafizi tidak sepatutnya didakwa di mahkamah seperti seorang penjenayah, kalau di negara luar beliau pasti diberi pingat,” katanya.

Hakim turut memutuskan kes pendakwaan yang dijadualkan berlangsung 3 Disember depan, ditangguh sehingga keputusan rayuan diperoleh.

Rafizi hari ini yang masih di Hong Kong bersama rombongan KEADILAN mengikuti kes tersebut dari sana.

Beliau bertemu Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk membuka semula kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz dan jutawan balak, Michael Chia.
Rafizi pada 1 Ogos lalu ditahan di bawah akta Bafia dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan National Feedlot Corporation (NFC) dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu.
NFC dikendalikan suami dan anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail – suami Shahrizat sebelum ini didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
Beliau merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Bagaimanapun, tiada tindakan dikenakan terhadap Mohamad Salleh.
Pada 30 Disember lalu, pihak berkuasa mendakwa pemberi maklumat dalam kes NFC, Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.
Shamsubahrin turut pernah direman dan diarah melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mendedahkan skandal yang melibatkan Umno BN.

Keadilan Daily sebelum ini melaporkan, tuduhan ke atas Shamsubahrin adalah taktik Umno bagi menjadikan ahli perniagaan itu ‘kambing hitam’ dalam skandal tersebut, sekaligus melindungi Mohamad Salleh.

Jika disabit kesalahan, Rafizi boleh didenda RM3 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan yang sama turut dikenakan terhadap pemberi maklumat skandal NFC kepada Rafizi, Johari Muhamad yang merupakan bekas kerani Public Bank.



Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/