"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr Mahathir dalam New Straits Times.

Dengan menyambungkan dua titik berbeza, Mahathir membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi untuk pembangkang adalah undi untuk Soros."

Dalam keriuhan isu tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula dilaporkan bertemu Soros secara diam-diam di New York, dua tahun lalu.

Ia pertama kali didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa dalam program debat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim.

Mengulas perkara itu, Saifuddin menyifatkan berita itu sebagai bukti tindakan mempromosikan BN lebih baik daripada menyerang Pakatan.

"Itulah yang saya kata tadi. Saya tahu ini dekat pilihan raya dan kita harus berkempen mendapatkan sokongan rakyat tetapi saya lebih suka untuk bercerita tentang nilai-nilai yang kita nak bawa daripada BN daripada menghentam orang lain.

"Kalau betul Datuk Najib bertemu Soros kita akan tunggulah apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan itu," katanya.