SharpShooter Followers

Friday, September 28, 2012

Speaker P.Pinang beri tempoh 48 jam kpd Musa buktikan tuduhan..

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir diberi tempoh 48 jam untuk mengemukakan bukti kononnya Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Abdul Halim Hussain mempunyai kepentingan dalam projek Taman Tema Escape di Teluk Bahang.

Abdul Halim pada sidang medianya di sini semalam menafikan dakwaan Musa itu dan menganggap tuduhan tersebut adalah fitnah, berniat jahat dan bertujuan memburukkan imejnya sebagai Speaker Dun.

"Terlebih dahulu saya ingin menafikan bahawa saya ada kepentingan peribadi dalam projek berkenaan.

"Jelas kenyataan beliau (Musa) berniat jahat, fitnah dan mencemar imej saya," katanya.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan beberapa kepimpinan PKR negeri.

Abdul Halim berkata, sebagai Speaker Dun yang diamanahkan oleh rakyat, tugasnya adalah berkhidmat kepada rakyat dan itu adalah kepentingan utama.

Menurutnya, beliau yang bertanding kerusi Teluk Bahang berkata, dalam manifestonya  telah berjanji untuk berusaha mewujudkan projek yang akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kawasan Teluk Bahang kerana kebanyakan penduduk kawasan itu adalah golongan  nelayan, miskin, penganggur dan hanya bergantung kepada industri pelancongan sahaja.

Beliau berkata, pada 2009, Kerajaan Negeri telah mengadakan tender terbuka bagi membida projek Taman Tema Escape.

Di bawah sistem tender terbuka ini juga Sim Leisure International telah terpilih untuk memajukan taman tema tersebut yang dijangka siap (Fasa 1A) pada hujung tahun ini.

"Sudah tentu saya akan menyokong projek ini dan kepentingan saya adalah untuk melihat Teluk Bahang dan Pulau Pinang maju dengan projek ini.

"Saya percaya projek ini akan menjana ekonomi dan penduduk di sekitarnya akan menerima tempiasnya kerana ia akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.

 Sementara itu, Guan Eng mengesahkan Abdul Halim tidak terlibat langsung dengan syarikat pemaju Taman Tema Escape berkenaan.

"Tuduhan liar yang dibuat Musa memang tidak berasas kerana berdasarkan maklumat yang memang nama Datuk Speaker tiada langsung dengan syarikat-syarikat yang membuat bidaan semasa tender projek ini dibuka.

"Bukan sahaja syarikat yang menang tender malah semua syarikat yang bida memang namanya tiada sama ada sebagai pemegang saham mahupun ahli lembaga pengarah," katanya.

Guan Eng percaya, tindakan Musa itu disebabkan mahu membalas dendam terhadap Abdul Halim yang telah membongkarkan kontroversi syarikat Maison Height Sdn Bhd milik Musa yang didakwa mengambil kesempatan terhadap penduduk dengan  membeli dan menjual tanah di Kampung Terang,Balik Pulau.

Menurutnya, Abdul Halim telah mendedahkan perbuatan syarikat Musa yang didakwa membuat keuntungan dalam masa empat bulan dengan menjual tanah penduduk pada harga RM13.5 juta pada Mei lalu selepas membelinya dengan harga RM8.5 juta pada Januari lalu.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone