SharpShooter Followers

Tuesday, January 17, 2012

Lagi laporan seleweng terhadap Jamil Khir

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Laporan atas nama Ketua PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad itu dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain melantik syarikat guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bertarikh 28 Januari 2010 bagi mewakili mereka dalam kes tuntutan qazaf  bertujuan menghalang kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada pemberita selepas laporan dibuat, Kamaruzaman mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap MAIWP, Jamil dan Che Mat.

"Bukti mengenai salahguna wang zakat oleh menteri dan pengarah Jawi ini sangat besar dan perlu disiasat segera kerana melibatkan wang rakyat.

"Di Wilayah Persekutuan ini ramai lagi golongan yang memerlukan sukar untuk menerima zakat, tiba-tiba menteri menggunakan wang ini untuk kepentingan peribadi," kata beliau.

Kamaruzaman merujuk kepada bukti yang didedahkan PKR minggu lalu mengenai perkara tersebut.

Ianya merupakan  set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucar bayaran bernombor 2010B4112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Selain itu bukti itu  merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan bayaran kedua berjumlah RM32,150 pada 29 April 2010 digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Mengulas mengenai kenyataan Jamir bahawa wang itu digunakan untuk menjaga kepentingan Islam, Kamaruzaman berkata ianya adalaha alasan yang tidak logik.

"Datuk Seri Jamil kata boleh guna wang zakat untuk mendaulatkan Islam.

"Dalam kes ini Datuk seri Anwar yang fail kes qazaf dan memohon untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekarang siapa yang mendaulatkan Islam?" soalnya.

Sementara itu, Timbalannya, Suhaimi Abdul Aziz memberitahu, Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum berhubung perkara itu di pejabat MAIWP, Khamis ini jam dua petang

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone