SharpShooter Followers

Thursday, September 29, 2011

Isu Hudud - Kata sepakat dicapai..PAS dibenarkan teruskan penerangan...


KUALA LUMPUR, 29 Sept: Pakatan Rakyat berjaya mencapai kata sepakat semalam untuk membenarkan PAS membuat penjelasan dan penerangan tentang undang-undang jenayah syariah termasuk hudud.

Bagaimanapun pelaksanaannya akan bergantung kepada kejayaan untuk mendapat kata sepakat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ianya dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat juga menerima prinsip bahawa DAP tidak bersetuju dengan undang-undang ini ketika PAS dan PKR menghormatinya, namun ia tidak menghalang PAS untuk terus menerangkannya kepada masyarakat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara ini dalam sidang media bersama yang diadakan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Pejabat Agung PAS.

"Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakannya. Untuk melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan," kata Anwar.

Anwar juga berkata, "Kenapa kita mesti nafikan hak PAS untuk articulate isu ini, ini proses demokrasi...bukan Umno yang kontrol Pakatan Rakyat...kita hormati hak rakyat untuk membentangkan cadangan mereka. Nafikan PAS untuk articulate kes ini, ia tidak ada."

Keputusan yang dicapai semalam menolak sama sekali harapan musuh Pakatan Rakyat untuk melihat mereka berpecah sebagaimana isu negara Islam yang memecahkan PAS dan DAP pada tahun 2003 dalam Barisan Alternatif.

Ia juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.

PKR dan PAS juga menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

"Kita hormati hak PAS untuk hendak melaksanakan hudud di samping menghormati hak DAP untuk tidak bersetuju dengannya," kata Anwar.

Mesyuarat yang disertai oleh hampir semua pemimpim utama PAS, PKR dan DAP itu bermula jam 10 malam.

Hanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sahaja yang tidak menyertainya dan beliau diwakili oleh Exco kerajaan negeri Kelantan yang juga seorang peguam, Datuk Takiyudin Hassan.

Dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ini bermakna semua pihak dalam Pakatan Rakyat boleh menyatakan pendirian mereka mengenainya secara terbuka.

PAS dibenarkan secara rasmi untuk terus menerangkan undang-undang Allah ini di samping berusaha untuk melaksanakannya dengan syarat usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berjaya.

Anwar menegaskan, "Kita tidak boleh halang PAS untuk memberikan pandangan atau cadangan dalam atau di luar mesyuarat."

Kini persoalan yang perlu dijawab adalah, bagaimanakah caranya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang ini dilaksanakan?

Anggota Parlimen PAS akan menyokong. Begitu juga anggota Parlimen PKR, mereka juga akan menyokong berdasarkan keputusan semalam. Jelas juga, DAP menyatakan mereka tidak menyokong hukum ini.

Ini bermakna, berjaya atau tidak pelaksanaan undang-undang ini bergantung juga kepada kerjasama dari anggota Parlimen dari Barisan Nasional (BN) khasnya Umno.

Pendek kata, undang-undang ini akan berjaya dilaksanakan kalau ia turut disokong oleh Umno kerana parti inilah yang mempunyai ahli paling ramai sekarang dalam Dewan Rakyat.

Jadi bola sekarang sebenarnya terletak di kaki Umno. Kalau parti yang mendakwa memperjuangkan hak orang Melayu itu menyokong undang-undang Islam ini, ia akan berjaya dilaksanakan.

Jika Umno tidak menyokongnya kerana takut MCA dan Gerakan yang memberikan amaran akan keluar BN jika ianya dilaksanakan, maka ketika itu Umnolah sebenarnya yang salah.

Pendek kata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam telah berjaya menolak isu ini kepada Umno dari menjadi isu panas dalam Pakatan Rakyat.

KENYATAAN PENUH PAKATAN RAKYAT

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/