SharpShooter Followers

Tuesday, November 02, 2010

PAS jangan jadi macam umno

Oleh Abu Bakar Haq

KUALA LUMPUR: Kalau PAS hendak mengganti tempat Umno dengan mewarisi tingkah laku parti itu, biarlah Umno terus berkuasa sampai bila-bila, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

"Slogan kita tegakkan tamadun Islam di atas keruntuhan jahiliah," kata beliau dalam tulisan terbarunya.

Menjelaskan penegasannya itu, Mohamad berkata, antara cara Umno membina harta ialah melalui tender runding sesuatu projek.

"Melalui wang yang dikumpul itu, (Umno) membina bangunan, menyertai pilihanraya, membiayai perjalanan parti.

"Saya harap PAS tidak mengganti Umno dalam membina kewangan seperti melalui tender runding untuk faedah kewangan individu atau kewangan parti (termasuk) untuk membina bangunan menjalankan perjalanan parti atau membiayai pilihan raya," katanya.

Jika PAS membuat seperti perkara di atas, katanya lagi, "maka kita benar-benar menggantikan Umno".

"PAS mesti berazam untuk mengikut contoh pemerintahan khalifah ar-rasyidin khasnya Umar Ibnu Khattab, yang membina kekuatan Baitul Mal untuk faedah umum bukan kekuatan individu atau kekuatan puak," katanya.

"Hasil hutan, khazanah bumi, tanah dan sebarang bentuk transaksi hendaklah pergi ke Baitul Mal bukan kepada individu, puak atau parti," tegas Mohamad.

Membina kekuatan jamaah

Bagi beliau, konsep pembinaan kekuatan parti atau jamaah mesti datang dari wang infak atau zakat atau lain-lain sumber yang tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah.

"Kalau wang transaksi daripada sesuatu projek pergi kepada parti politik pemerintah dibenarkan maka pihak pemerintah (PAS) hendaklah memberi habuan kepada semua parti politik yang berdaftar di Malaysia.

"Dengan ini barulah PAS tidak dianggap mengganti Umno," katanya. Sekiranya PAS dijulang oleh rakyat untuk menjadi peneraju utama kepada kerajaan baru selepas Barisan Nasional (BN), Mohamad menyatakan beliau "amat berharap PAS tidak menggantikan Umno" Menurut beliau, menggantikan Umno bererti mewarisi stail kepimpinan yang memperalatkan pembangunan untuk pembinaan kekuatan parti dan hala tujunya.

"Umno membina kekuatan mereka semangat perkauman, janganlah PAS membina kekuatan mereka di atas asobiah agama, sedangkan Islam sebagai ad-Din," beliau mengingatkan.

PAS mesti membela kebenaran walaupun datang dari sesiapa dan menolak kemungkaran walaupun datang dari sesiapa, katanya.

"Asobiah agama mesti ditolak terus, Islam sebagai addin mesti dijulang dan dimartabatkan," tegas Mohamad.

Beliau bagaimanapun yakin evolusi pemikiran umat Islam dan rakyat Malaysia secara umum tidak mengizinkan monopoli mana-mana parti politik selepas Umno-BN kehilangan kuasa.

"Reformasi rakyat akan mengubah dengan segera mana-mana pemerintah yang cuba menggantikan peranan Umno-BN.

"Yang kita perlu tonjolkan ialah Islamic Civilisation (tamadun Islam) bukan asobiah Islam," katanya.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/