SharpShooter Followers

Friday, September 17, 2010

Isu Sosilawati - Polis akan memanggil Shamsul Iskandar

Calon Naib Presiden, Shamsul Iskandar Mohd Akin bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan beliau mengaitkan pasukan keselamatan itu dengan pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiya tempoh hari.

Tegas beliau, kenyataannya baru-baru ini tidak bermaksud menghina kecekapan polis dalam menjalankan tanggungjawap, sebaliknya berharap pasukan keselamatan lebih efisyen menyelesaikan sesuatu tugasan siasatan dalam kes jenayah yang semakin berleluasa.

“Saya bersedia bekerjasama jika kononnya kertas siasatan berhubung dakwaan saya merepek itu akan dibuka,” kata beliau pada sidang media mengumumkan pendirian mahu bertanding kerusi naib presiden PKR.

Shamsul Iskandar menegaskan, keselamatan di negara ini perlu dipandang serius dan dipertingkatkan.

“Respons saya pada wartawan tanya mengenai kes Datuk Sosilawati, saya merakamkan ucapan takziah ke atasnya dan tiga lagi rakannya.

“Saya mengambil sikap memuji kecekapan pihak polis dan ketiga saya minta pihak polis tumpukan kerja dan kurangkan jaga orang politik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membaca banyak laporan media yang mengaitkan suspek pembunuh yang bergelar Datuk itu dikaitkan dengan empat kes yang sama pada tahun lepas.

“Kalau pihak keselamatan menyiasat kes-kes jenayah sebelum ini, saya yakin kes Sosilawati ini tidak akan terjadi pada jutawan Datuk Sosilawati, ini jawapan saya kepada wartawan yang mereka tanya... jadi tiada apa-apa tuduhan yang dilemparkan,” katanya.

Polis sebelum ini digesa supaya menahan dan menyoal siasat Ketua Angkatan Muda itu ekoran dakwaan bekas naib ketua AMK Mohd Zaid Md Arip bahawa Shamsul Iskandar telah melemparkan tuduhan tidak berasas itu terhadap pasukan polis.

Malah Zaid turut mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengadu-domba kes pembunuhan ini.

Bagaimanapun Shamsul Iskandar hari ini menafikan dan berkata kenyataannya sebelum ini tidak mengancam mana-mana keselamatan sebaliknya menzahirkan rasa simpati ke atas apa yang berlaku kepada semua waris keluarga dan meminta polis menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap.

“Saya rakamkan perasaan geram, memuji polis saya minta polis tumpukan kerja bukan jaga ahli politik,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memperkudakan isu ini dan berniat jahat terhadapnya.

“Saya tidak akan berhenti menegakkan kebenaran, saya mahukan pasukan polis bekerja keras,” kata beliau lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata akan memanggil Shamsul Iskandar bagi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tuduhan yang dilemparkan kepada pasukan keselamatan itu.

Khalid memberi amaran jika beliau Shamsul Iskandar gagal mengemukakan bukti, tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atasnya.

Dalam pada itu, ketika kes kehilangan dan pembunuhan kejam Sosilawati masuk hari ke-17 hari ini, orang ramai terus mengharapkan keadilan terus terbela untuk kesemua waris mangsa tambahan lagi pihak polis mahu mengemukakan kes tersebut dijangka minggu depan.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/