SharpShooter Followers

Saturday, August 07, 2010

Hampir setengah juta rakyat Malaysia disekat ke luar negara termasuk Tan Sri dan Dato' Seri

PUTRAJAYA: Seramai 424,653 rakyat Malaysia telah dikenakan sekatan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai sebab dan kesalahan.

Jumlah ini adalah yang terbaru selepas dikemaskinikan oleh Jabatan Imigresen.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen Malaysia, Ibrahim Abdullah berkata, sekatan itu dikenakan hasil daripada maklum balas yang mereka terima daripada 13 agensi penguatkuasaan dan juga jabatan kerajaan termasuklah Jabatan Imigresen sendiri.

“Percaya atau tidak, mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk turut tidak terlepas dikenakan sekatan untuk ke luar negara. Ini termasuk orang kenamaan, golongan berjawatan tinggi dan selebriti yang kebanyakannya disebabkan masalah kebankrapan dan cukai pendapatan,” ujarnya dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online.

Tambahnya lagi, tiada pengecualian atau diskriminasi terhadap senarai hitam sekiranya nama mereka dihantar ke Jabatan Imigresen untuk tindakan sekatan ke luar negara.

“Jabatan Imigresen diminta supaya menguatkuasakan undang-undang bagi pihak kesemua 13 agensi ini. Jadi adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk bertindak menghalang mereka yang disenarai hitamkan oleh agensi-agensi berkenaan daripada meninggalkan negara ini,” ujarnya lagi.

Menurut Ibrahim, Jabatan Insolvensi Malaysia menyalurkan jumlah senarai hitam paling tinggi iaitu seramai 196,473 orang atau 46 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

Jabatan Imigresen mengeluarkan 11.28 juta pasport antarabangsa dari tahun 2000 sehingga kini dan tahun ini sahaja ia telah mengeluarkan 920,000 pasport antarabangsa.

Ibrahim menambah, senarai hitam daripada Jabatan Insolvensi itu kebanyakannya berkaitan dengan status kebankrapan di bawah Akta Kebankrapan 1967 di kalangan peminjam utama dan penjamin.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula, katanya, menyalurkan senarai kedua tertinggi bagi senarai hitam iaitu 79,621 orang atau 19 peratus yang sebahagian besarnya disebabkan hal berkaitan dengan cukai pendapatan.

Jabatan Imigresen juga katanya turut mengenakan tindakan sekatan ke luar negara dengan senarai hitam ketiga tertinggi daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 58,138 orang atau 14 peratus.

Menurut beliau, pihaknya mengenakan sekatan ke atas pemegang pasport disebabkan antara lain kerana menetap melebihi had yang dibenarkan di luar negara,kegagalan membayar levi pekerja warga asing dan jenayah.

Dalam pada itu, golongan belia berumur antara 25 dan 35 tahun juga tidak terlepas daripada disenaraikan hitam akibat kegagalan melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jumlah mereka yang disekat daripada ke luar negara kerana tidak melunaskan hutang PTPTN hanyalah 46,887 orang.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menyenarai hitamkan 9,405 orang yang dikategorikan sebagai terlibat dalam jenayah atau kes-kes yang melibatkan jenayah manakala Kastam Diraja Malaysia pula menyenarai hitamkan 3,730 orang. Mahkamah Malaysia menyenarai hitamkan sejumlah 683 orang kerana melibatkan kes perbicaraan yang belum selesai.

Dalam pada itu jumlah sekatan yang paling kecil ialah mereka yang senaraikan oleh Suruhanjaya Sekuriti iaitu sekitar 16 orang sahaja. Kebanyakkan terlibat dalam kes-kes sekuriti yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan.

Ibrahim berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengambil serius mengenai perkara dan hanya mengetahui status mereka telah disenarai hitamkan apabila mahu ke luar negara.

“Jabatan Imigresen tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pelepasan kepada mereka kerana ia bergantung kepada kelulusan dan budi bicara daripada agensi-agensi terbabit.

“Namun, kami berusaha untuk membantu mereka membuat rayuan agar diberikan pelepasan untuk ke luar negara bergantung kepada sebab dan keadaan,” katanya.

Beliau menambah, mereka yang dikenakan sekatan ke luar negara akan dikeluarkan dari status senarai hitam apabila menyelesaikan masalah dengan agensi terbabit.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya mengambil persediaan untuk mengemaskini data mereka di Jabatan Imigresen atau menerusi laman web di www.imi.gov.my,” katanya.

Antara 13 agensi lain yang turut menyerahkan senarai nama untuk tindakan sekatan ke luar negara adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Malaysia, Mahkamah dan Jabatan Penjara.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Sekuriti berkata, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang, individu dalam siasatan atas kesalahan sekuriti tidak dibenarkan untuk ke luar negara.

Katanya, Suruhanjaya Sekuriti telah membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mereka yang disenarai hitamkan ini daripada meninggalkan negara sekiranya perlu.

“Seseorang yang dikenakan tindakan atas kesalahan sekuriti akan mendapat perintah mahkamah supaya menyerahkan pasport mereka sebagai syarat jaminan,” kata jurucakap itu lagi.

Sharpshooter : Masalah paling besar sekarang adalah kemasukan pendatang tanpa izin yang tidak mampu dikawal sekarang.

Mereka lebih ramai dari kaum India Malaysia yang berjumlah 1.9 juta orang. Warga Asing kini hampir 5 juta orang. Perniagaan warga asing yang untungkan puak2 gerombolan.


Yang pelik rekod Altantuya ke Malaysia pun boleh dipadamkan...Siapa arah bunuh Altantuya?


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/