SharpShooter Followers

Tuesday, June 22, 2010

WAWANCARA KHAS BERSAMA TIMBALAN KETUA MENTERI I (TKM I)

SUARA CAT : Sebagai TKM 1, apakah antara perancangan dan pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan oleh YB.

TKM I : Dalam konteks pentadbiran, banyak perkara yang telah, sedang dan akan kita laksanakan bagi manfaat rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman dan idelogi politik maupun kedudukan dan juga keturunan.

Apa yang menjadi falsafah dan prinsip perjuangan kita ialah melaksanakan dasar CAT. Iaitu Cekap, Akauntabel dan Telus yang mana ditegakkan di dalamnya ialah 5 prinsip teras yang merangkumi keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan sosial dan juga ketaqwaan kepada Tuhan.

Sejajar dengan itu maka Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mensasarkan misi 3P iaitu untuk memperkasakan,memperkuasakan serta memperkayakan rakyat.

SUARA CAT : Apakah sebenarnya misi 3P ini.

TKM I : Perkasakan rakyat membawa maksud Kerajaan Negeri mahu supaya rakyat negeri ini diperkasakan dengan ilmu pengetahuan, kepakaran, pendidikan serta disediakan peluang yang saksama kepada semua golongan masyarakat bagi menjana kemakmuran rakyat.

Manakala, Perkuasakan Rakyat pula ialah dengan hak asasi, kebebasan asas dan kebertanggungjawaban serta menghormati kedaulatan undang-undang. Sementara itu bagi misi 3P yang ketiga pula ialah Perkayakan rakyat dengan berkongsi hasil kekayaan dan ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Inilah yang sedang kita laksanakan sehingga menerima bantahan dan tohmahan dari pelbagai pihak yang tidak memahami konsep yang ingin kita terap dan laksanakan.

SUARA CAT : Sehingga ini, apakah antara kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan PR di Pulau Pinang sejak menerajui Kerajaan Negeri.

TKM I : Banyak yang telah kita laksanakan dengan jayanya. Antaranya ialah menubuhkan Hab Pendidikan seluas 200 ekar bagi menjadikan negeri ini sebagai pusat pendidikan cemerlang yang akan menjadi inkubator bagi membangunkan modal insan, kemahiran dan ilmu pengetahuan.

Selain itu ialah menubuhkan Majlis Sains Pulau Pinang (MSPP) yang dipandu oleh industri bagi merealisasikan aspirasi kita menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan kejuruteraan dan sains ; menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) sepertimana yang telah diperakui oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai negeri yang mempunyai kemudahan OKU terbaik di Malaysia.

SUARA CAT : Pembangunan terhadap Hal Ehwal Agama Islam dan orang Melayu pula bagaimana perkembangannya.

TKM I : Kita tidak pernah meminggirkan pembangunan terhadap sesiapa sahaja. Baik dalam membangunkan Hal Ehwal Agama Islam (HEAI) dan orang Melayu serta kumpulan masyarakat yang lain juga. Kerajaan Negeri telah pun menambah peruntukan bagi HEAI dari RM12.5 juta pada tahun 2008 yang disediakan oleh kerajaan BN dahulu kepada RM20.5 juta pada tahun 2009 dan ditingkatkan kepada RM24.3 juta pada tahun 2010.

Selain itu, sebanyak 18 buah Sekolah Agama Rakyat yang sebelum ini tidak pernah diberikan perhatian juga telah disalurkan bantuan berjumlah RM1.75 juta oleh Kerajaan Negeri PR. Kita juga berusaha memartabatkan para huffaz yang mana selama ini tidak pernah diberikan status penganugerahan, pengiktirafan sijil dan penghargaan sumbangan khas telah kita laksanakan.

Orang Melayu bukan saja menikmati hasil sistem tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri PR tetapi juga jaminan hak dan juga HEAI. Kita juga menyediakan tanah untuk pembinaan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dengan kos pembinaannya ditanggung oleh Kerajaan Pusat.

Turut disediakan ialah peruntukan dana bagi memperolehi tanah dan kubur untuk masjid serta menyediakan tempat beribadat kepada penganut bukan Islam.

SUARA CAT : Apakah perancangan yang akan datang bagi manfaat umat Islam dan juga rakyat negeri ini.

TKM I : Sebagaimana kita semua sedia maklum, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam tempoh singkat pentadbiran Kerajaan PR di Pulau Pinang.

Antaranya ialah kejayaan negeri ini sebagai negeri pertama dalam sejarah negara Malaysia yang mendapat pengiktirafan ‘Transparency International’ kerana urus tadbir CAT yang baik dan telah berjaya menukarkan anggaran defisit belanjawan 2008 dari RM35 juta kepada lebihan rekod sebanyak RM38 juta dan anggaran belanjawan 2009 dari defisit RM40 juta kepada lebihan sebanyak RM77 juta.

Pulau Pinang juga adalah negeri pertama yang mengamalkan sistem tender terbuka dan pembelian kerajaan melalui internet (e-perolehan). Melalui sistem ini, ia telah berjaya mengurangkan rasuah, menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 juta setahun. Ini termasuk pengurangan kos pengurusan sisa pepejal sebanyak 45 peratus.

Membatalkan projek-projek kroni BN di Pulau Pinang seperti ‘Penang Global City Centre’ yang bernilai RM25 bilion dan membongkarkan skandal penyelewengan tanah Tang Hak Ju sebanyak RM40 juta.

Muslim Hab akan diwujudkan tidak lama lagi di Pulau Pinang bagi mengumpulkan semua pengusaha Muslim dan produk halal di satu kawasan yang telah dikenal pasti.

Di sini, semua produk halal dan pengusaha Muslim boleh menjadikan ia sebagai satu destinasi terbesar yang akan menjadi satu kawasan tumpuan berkumpul dan pertemuan. Ia sedang dalam proses pelaksanaan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat tahun ini juga.

SUARA CAT : Pembasmian miskin tegar dan program yang telah berjaya pula bagaimana.

TKM I : Bagi membasmi miskin tegar, Kerajaan Negeri di dalam tempoh setahun telah berjaya memastikan setiap keluarga memperoleh bantuan RM500 sebulan melalui Program Rakan Anti Kemiskinan.

Warga emas yang berusia 60 tahun yang bermastautin di Pulau Pinang diberi pengiktirafan sebanyak RM100 setiap orang mulai tahun 2010 dan setiap tahun selagi PR memerintah negeri ini.

Julung kali di dalam sejarah negeri ini, kita turut menyumbangkan RM1,000 bagi pengurusan jenazah atau urusan kematian bagi waris kepada warga emas yang berdaftar.

Rebet bekalan air sebanyak RM100 sekeluarga bagi 170 ribu buah keluarga susah yang berpendapatan sederhana dan rendah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta turut disalurkan.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/