SharpShooter Followers

Saturday, June 12, 2010

Mantapkan ‘keserasian dan memperkukuhkan kebersamaan’ - Ustaz Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru seluruh kepimpinan parti agar berusaha memantapkan ‘keserasian dan memperkukuhkan kebersamaan’ dalam pakatan pembangkang.

Seruan itu dilihat mengulangi jaminan pendiriannya yang tegas ketika tahap kesepakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP hasil pilihan raya umum 2008 kerap dipersoalkan.

Menurut Abdul Hadi, usaha itu yang dianggap penting sebagai persiapan bagi menggantikan kepimpinan negara yang ada sekarang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

‘‘Semuanya dilaksanakan dengan prinsip ‘Tahaluf Siyasi’ yang menjadi pegangan Pas, tanpa menjejaskan prinsip perjuangan yang digariskan dalam undang-undang tubuh Pas selama ini,” ujar beliau.

Sebagai persiapan menghadapi cabaran mendatang beliau turut mengingat betapa perlunya Pas diperkasakan dalam arena politik tanah air dengan Tasawur Islam yang menjadikan parti itu lebih diterima rakyat semua kaum, dihormati kawan dan digeruni lawan.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bertemakan Islam Adil Untuk Semua pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, di atas pentas politik negara, semua pihak telah menyaksikan bahawa Pas terus menerus istiqamah melaksanakan tahaluf siyasi sejak dari tahun 1982 di atas nama Islam, dengan pertimbangan hukum berdasarkan kepada al-Quran dan sunah.

‘‘Ia bukannya di atas semangat yang sempit, apatah lagi semangat perkauman yang boleh meruntuhkan pemikiran yang waras dalam negara kita.

‘‘Oleh yang demikian, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh Pas menerusi amalan Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat, dengan model Islam yang sebenar akan terus diperkasakan,” ujar beliau.

Beliau menarik perhatian, beberapa siri pilihan raya kecil yang dihadapi bersama oleh parti dalam Pakatan Rakyat, dengan pilihan raya kecil Sibu menjadi yang terkini, telah menjadi medan pengukuhan hubungan antara parti.

‘‘Pas telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerak kerja sehingga membuahkan hasil yang boleh mengubah landskap politik negara,” kata Abdul Hadi yang mengetuai Pas sejak 2002.

Dalam ucapannya yang banyak menyentuh usaha memperkemaskan parti, Abdul Hadi berkata, Pas merasa amat berbesar hati dengan perkembangan sangat positif apabila ia bersama-sama dengan rakan Pakatan Rakyat menjayakan konvensyen sulung Disember lalu.

Beliau menyifatkan ia telah menempa sejarah bermakna apabila telah mencapai kesepakatan dalam tujuh perkara asas termasukmempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

“Kewajipan kita ialah meletakkan perkara ini (tujuh perkasa) atas landasan yang benar dan melaksanakannya dengan istiqamah, bukannya secara slogan tanpa pengisian yang tepat kerana kita tidak boleh menipu rakyat dengan slogan yang manis tanpa amalan yang berasaskan kepada akhlak, adil dan amanah,” kata beliau lagi.





* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/