SharpShooter Followers

Thursday, June 17, 2010

Luahan rasa Warga Emas P.Pinang

“Bagaikan anak tersayang memberi wang saku kepada ayah mereka”, begitulah luahan hati Che Din Hamat, 70, yang merupakan salah seorang penerima sumbangan RM100 sempena Program Penghargaan Warga Emas ketika ditemui baru-baru ini.

Baginya, walaupun nilai yang diterima tidak seberapa, namun, sumbangan ikhlas daripada Kerajaan Negeri membawa seribu makna yang tidak ternilai harganya.

“Jumlah wang yang diterima tidak penting, sebaliknya, ingatan Kerajaan Negeri terhadap warga tua sungguh istimewa kerana belum pernah ada anugerah sebegini sebelum ini,’’ tambah beliau yang merupakan seorang pesara dari sebuah kilang multinasional.

Menurut Che Din, ekoran tersentuh dengan sumbangan Kerajaan Negeri berjiwa rakyat, beliau masih menyimpan wang RM100 yang diterima dari bank sebagai tanda kenang-kenangan. Malah, pada masa sama, isterinya turut berbuat demikian.

“Kawan-kawan saya yang kaya, yang bawa kereta Mercedes pun ada menerima wang ini dan sebagai kenangan, mereka juga menyimpan nota wang ini sebagai kenangan.

“Maklumlah, setelah 60 tahun baru dapat rasa yang kita (golongan warga emas) dihargai Kerajaan Negeri,’’ ujar Che Din yang merupakan bekas ahli UMNO Kampung Genting, Balik Pulau.

Apabila diminta memberi pendapat peribadi terhadap Ketua Menteri, Che Din menyatakan bahawa beliau pernah berjumpa dengan Y.A.B. di Sungai Rusa, namun tidak sempat bertegur sapa.

“Apabila terserempak dengan Ketua Menteri, saya teringatkan perjuangan beliau mempertahankan seorang gadis Melayu. Walaupun tidak berpeluang meluahkan isi hati saya, hanya satu pesanan saya kepada beliau iaitu untuk meneruskan perjuangan!’’ tegasnya yang dikurniakan empat cahaya yang kesemuanya berkelulusan universiti.

Dalam pada itu, bagi bekas kakitangan JKR, M. Andee, 73, mendoakan supaya PKR dapat menakluki Putrajaya pada pilihanraya akan datang.

“Saya percaya Kerajaan ini adalah sebuah Kerajaan yang berpegang kepada janji. Sekiranya mereka dapat memberi RM100 kepada semua warga emas di negeri Pulau Pinang, maka, Kerajaan PR juga akan kotakan janji untuk menyumbangkan RM1,000 kepada semua warga emas di Malaysia sekiranya mereka berjaya menakluki Putrajaya.

“Ini merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai harganya,’’ katanya yang kini merupakan seorang penyelia sebuah pusat snuker di sini.

Tambahnya, sekiranya Ketua Menteri mengadakan lawatan ke Balik Pulau, beliau akan membawa Y.A.B. bersiar-siar di pekan sambil menikmati juadah istimewa di kawasan berkenaan.

Sementara itu, bagi Cheng Get, 80, sumbangan wang RM100 yang diterima telah digunakan untuk membeli ikan, daging dan sayur bagi diraikan bersama lima anak, lapan cucu dan sembilan cicitnya.

“Pada hari tersebut, saya pakai cantik-cantik dan apabila tiba di Maybank Bertam untuk mengambil wang sumbangan, pekerja bank bertugas amat ramah walaupun terpaksa memproses beratus-ratus permohonan.

“Apabila tiba giliran saya, pekerja bank dengan mesranya menyerahkan wang RM100 sambil membisik kepada saya supaya meraikan kegembiraan ini,’’ katanya sambil menceritakan pengalaman beliau menaiki kapal untuk ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia ke-2.


Tambah Cheng Get, walaupun terdapat saudara terdekat dan jiran tetangga melarangnya mengambil wang sumbangan wang berkenaan, beliau bagaimanapun yakin akan keikhlasan Kerajaan Negeri.

“Saya amat gembira. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya. Sekiranya dipanjangkan umur, saya berharap tahun depan saya berkesempatan menerima sumbangan penghargaan ini lagi bagi diraikan bersama keluarga tercinta,” jelas beliau sambil tersenyum lebar.

Bercerita mengenai pengalaman hidupnya, suami Cheng Get telah meninggal dunia 10 tahun lalu. Sebelum ini, beliau bersama mendiang suami menyara hidup dengan bercucuk tanam di Lunas. Antara tanaman yang diusahakan adalah sayur-sayuran, koko, kelapa dan pisang.

“Selepas mendiang meninggal, saya telah berhenti menanam dan hanya melakukan kerja-kerja kampung seperti mengutip koko bagi mengisi masa lapang,” kata beliau yang merupakan bekas pengidap kanser payu dara.

Cheng Get menambah, beliau sering ternampak Ketua Menteri di televisyen. Namun, beliau hanya tersenyum sipu apabila ditanya sama ada ingin berjumpa dengan Y.A.B. secara bersemuka ataupun tidak.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/