SharpShooter Followers

Monday, June 21, 2010

Jom sertai konvoi ke Gaza

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menjemput organisasi dan individu yang ingin menyertai Konvoi Ramadhan Bagi Misi Kebebasan untuk membuat pendaftaran dengan segera.

"Pengumuman ini dilakukan oleh jawatankuasa pemeriksaan bagi membuat saringan kepada mereka yang bersedia untuk menyertai konvoi pada bulan Ramadhan akan datang.

Misi ini diadakan dengan tujuan untuk meneruskan usaha bagi membebaskan Gaza dari kepungan Israel," kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan pihaknya telah membentuk sebuah jawatankuasa pemeriksaan yang bakal menerima permohonan dan penyertaan dari pelbagai pihak termasuk daripada kalangan aktivis badan bukan kerajaan, ahli parlimen, pemimpin politik, ahli akademik, pengamal media, profesional, tokoh masyarakat yang terkemuka, serta anggota media untuk menyertai konvoi ini.

Pendaftaran bagi konvoi misi keamanan ini dibuka mulai 20 Jun 2010 dan jawatankuasa pemeriksaan akan mengeluarkan senarai pendek bagi calon yang berjaya menyertai misi pada 25 Jun 2010.

Mapim turut mengesahkan pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk mendapatkan bantuan bagi proses imigresen dan juga untuk menguruskan prosedur kerajaan Malaysia dengan pihak berkuasa Mesir.

Semua kos sepanjang perjalanan akan ditanggung sendiri oleh peserta, manakala tempoh tinggal di Gaza akan diputuskan dengan pihak berkuasa Gaza.

Mapim membuka penyertaan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan etnik.

Jumlah delegasi dari Malaysia terpaksa dihadkan kepada 60 orang kerana mengambil kira penyertaan aktivis antarabangsa.

Konvoi tersebut dijangka akan terdiri antara 300 hingga 500 peserta.

"Kerana ini merupakan usaha yang serius dan mencabar, kami berharap orang-orang yang bersedia untuk menyertai konvoi ini adalah sihat secara fizikal dan mental.

"Misi tersebut merupakan salah satu usaha berterusan untuk membebaskan Gaza, dan Palestin secara keseluruhan. Ramadhan adalah bulan yang penting untuk menyatukan usaha antarabangsa bagi mencapai suatu keputusan yang memberikan kesan kepada penderitaan rakyat Palestin.

Kami juga berusaha untuk berkoordinasi dengan kumpulan lain bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui 3 laluan, iaitu udara, laut dan darat," tambah beliau.

Tujuan utama konvoi ini adalah untuk memberi tekanan kepada Israel dan Mesir untuk mengambil pengajaran daripada tuntutan antarabangsa untuk menamatkan kepungan Gaza yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Mapim juga turut mengambil peluang untuk mempromosikan misi keamanan ini ke seluruh dunia untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menuntut pembebasan Gaza.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/