SharpShooter Followers

Monday, February 22, 2010

Kapal asing ditahan lagi

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Sebuah kapal asing, MT Eastern Star yang berdaftar di Tirawa, Kiribati pernah ditahan pada 25 Januari dan 12 Februari lalu kerana menjalankan kegiatan memindah minyak secara haram di perairan Johor.

Ketika dua kesalahan itu masih dibicarakan di mahkamah, kapal itu sekali lagi ditahan di perairan Kota Tinggi awal pagi semalam kerana melakukan kegiatan yang sama.

Kapal itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan tiga batu nautika di selatan Tanjung Stapa, Kota Tinggi.

Ketua Penguat Kuasa APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Abd. Hadib Abdul Wahab berkata, pihaknya yang membuat rondaan berjaya mengesan kapal berkenaan bersama kapal MT Gas Eurasia dari Bangkok, Thailand di dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.30 pagi.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua kapal berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen untuk melakukan pemindahan minyak daripada pihak berkuasa di negara ini.

"Walaupun kes melibatkan kapal MT Eastern itu dalam tindakan mahkamah dan dokumennya dipegang oleh Jabatan Laut Wilayah Selatan, namun kapal berkenaan masih bergerak bebas dari Perairan Tanjung Piai ke Perairan Pengerang.

"Kesalahan yang dilakukan kapal ini adalah kali ketiga dan sehubungan itu, kita berharap tindakan tegas dikenakan ke atas kapal terbabit supaya dapat memberi pengajaran kepada yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abd. Hadib berkata, kapten dan ketua jurutera kedua-dua kapal bersama 29 anak kapal melibatkan 18 warga Myanmar, lapan Thailand dan dua Indonesia berusia antara 21 hingga 64 tahun dibawa ke ibu pejabat APMM untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kedua-dua kapal itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491b(1)(k) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak mempunyai permit atau kelulusan untuk melakukan pemindahan atau penerimaan di laut.

Katanya, kesalahan itu juga membabitkan kegagalan memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti kapal ke kapal.

"Mereka juga gagal memaklumkan ketibaan berada di perairan Malaysia," katanya.

Jika sabit kesalahan, katanya, kedua-dua kapal itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/