SharpShooter Followers

Wednesday, December 30, 2009

Najib tak mahu siasat Che Det

KOTA KINABALU, Dis 29 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata suruhanjaya diraja tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membazirkan RM100 bilion.

“Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja... tetapi dalam hal ini, tak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.

“Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar.

“Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-14 di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan ditanya cadangan penubuhan suruhanjaya itu yang dibuat oleh penasihat DAP Lim Kit Siang bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Buku “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” tulisan Barry Wain baru-baru ini menghangatkan polemik dengan dua personaliti, Dr Mahathir dan Lim masing-masing berbalas kenyataan menerusi blog masing-masing hari ini.

Dr Mahathir mahu kerajaan memberi kerjasama dengan menubuhkan suruhanjaya diraja dengan membuka “semua buku” yang berkaitan.

“Saya mempunyai hak untuk membersihkan nama saya. Tun Abdullah (Ahmad Badawi) juga mempunyai hak untuk membersihkan nama beliau. Kerajaan seharusnya bekerjasama dan membuka semua buku (dokumen).

“Tidak harus ada sebarang langkah menutup (kes). Kerajaan telah menyatakan komitmen untuk amalkan ketelusan. Ia harus bertindak untuk menunaikan janji-janjinya,” kata bekas presiden Umno itu dalam tulisan blognya.

Dr Mahathir menafikan jumlah kerugian akibat kes-kes yang disenaraikan oleh Wain dalam bukunya boleh mencecah RM100 bilion.

“Kesemuanya sekali, saya ingat jumlah kerugian jika dijumlahkan kemungkinan mencecah RM10 bilion. Jika kita rugi RM100 bilion, kerajaan sudah tentu berada dalam masalah yang teruk.

“Walaupun kita pernah alami pertumbuhan buruk dalam beberapa tahun tetapi kerajaan tidak pernah gagal untuk memenuhi komitmen kewangan termasuk membayar balik pinjaman.

“Sebaliknya kita telah memiliki wang secukupnya untuk membayar balik hutang. Projek-projek (yang dijalankan semasa era Dr Mahathir) sudah tentu menelan banyak wang,” kata beliau merujuk kepada antaranya jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang, Putrajaya, Cyberjaya dan Menara Berkembar Petronas.

Lim pula memberitahu oleh kerana Dr Mahathir mengatakan bahawa beliau ada hak untuk menyamannya termasuk Wain dan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu wajarnya mengambil tindakan undang-undang ke atasnya sekarang.

“Mengapa tidak Mahathir menyaman saya sekarang jika saya telah memfitnah beliau,” kata beliau merujuk kepada kenyataan Dr. Mahathir bahawa jika suruhanjaya diraja ditubuhkan nanti mendapati dakwaan Wain tidak benar, beliau akan mengambil tindakan perundangan.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/